Datang lagi hari Jumaat silih berganti saban minggu, dengan limpahan rahmat dan maghfirah Allah swt kepada hamba-hambaNya yang mahu menyucikan jiwanya. Peluang hidup sehingga hari Jumaat ini adalah ni’mat yang tidak terhingga yang perlu diisi dengan bert…eduh sebentar di bawah naungan surah al-Kahfi. Bukan sahaja membacanya berkali-kali pada setiap hari Jumaat tetapi menghayati isyarat-isyarat penting yang dikehendaki Allah swt kepada hamba-hambaNya yang beriman. Mengapa Rasulullah saw. bersabda dengan hadith2 berikut? : “Barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi (dengan huruf dan pembacaan yang betul) sebagaimana ia diturunkan, maka surah itu akan menjadi cahaya pada hari kiamat daripada tempat tinggalnya sehingga ke Mekah dan barangsiapa membaca sepuluh ayat yang akhir daripadanya, kemudian dajjal keluar, dajjal tidak dapat menguasainya.” (HR Mustadrak Hakim)

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa membaca tiga ayat daripada surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal.” (HR Tirmizi) Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal. Dalam riwayat yang lain dinyatakan daripada akhir surah al-Kahfi.” (HR Muslim) Dari Sauban r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, maka sesungguhnya pembacaannya itu menghindarkannya daripada fitnah dajjal. (HR Nasai)

Membaca surah al-Kahfi bagaikan membaca cerita-cerita kehidupan manusia yang tergolong daripada kaum pemuda, kaum pekerja, kaum ilmuan, dan kaum penguasa. Indahnya menelusuri kisah dalam surah ini dan alangkah indah lagi apabila kisah-kisah di dalam surah ini disulami dengan nasihat-nasihat yang jelas dan terang bersifat rabbani, hakiki dan abadi. Surah ak-Kahfi membentangkan 4 kisah yang memfokuskan kepada fitnah yang akan datang dalam kehidupan manusia khususnya kepada golongan yang beriman iaitu:-

1. Fitnah Agama – Kisah ashab al-kahfi Ashabul Kahfi berjaya mempertahankan aqidah dan agama dengan mengorbankan diri, dan meninggalkan kedudukan dan kemewahan hidup. (ayat 9-25) Bagi menghindari fitnah ini Allah swt memberikan pertunjukNya dengan mendampingi orang-orang soleh, sentiasa sabar mengikuti golongan yang menyeru kepada kebaikan dan sentiasa mengingati akhirat.(ayat 28-31)

2. Fitnah Harta- Kisah Pemilik Dua Buah Ladang Anggur dan Tamar Pemilik kebun ini mengkufuri ni’mat dan lupa pada pemberi ni’mat-Allah, berbangga-bangga, sombong dan menolak nasihat sahabatnya. (ayat 32-44) Bagi menghindari fitnah harta ini Allah meminta orang mukmin agar memahami sebenar-sebenar hakikat dunia yang fana’ ini dan sentiasa mengingati akhirat yang kekal abadi. (ayat 45-53)

3. Fitnah Ilmu – Kisah Nabi Musa menuntut ilmu Nabi Musa diuji dgn ilmu yang dimiliki pada mulanya terdetik di hatinya menyangka dia merupakan orang yang paling berilmu di dunia ini. Lantas Allah swt memberikan teguran di atas sikap baginda itu dengan memerintahkan nabi Musa supaya belajar dengan orang yang tidak dikenalinya dan tidak terkenal pula tetapi dikenali Allah iaitu Nabi Khidir a.s. (ayat 60-82) Bagi menghindari fitnah ilmu pula Allah swt. membimbing orang yang berilmu agar memiliki sifat sabar dalam menggali hikmah setiap ilmu yang diberikan dan tawadhu’ serta menghindari sifat ghurur dengan ilmu yang dimiliki. (ayat 69)

4. Fitnah Kekuasaan (pangkat dan kedudukan) – Kisah Zul Qarnain. Zul Qarnain seorang raja yang kaya, bijak dan soleh diuji dengan kuasa dan wilayah luas di timur dan barat tetapi bersifat adil dan sentiasa mengambil berat rakyatnya dan membimbing mereka kepada kebaikan dan keimanan.(ayat 84-98). Bagi menghindari fitnah kuasa dan kedudukan ini Allah swt menegaskan agar mengamalkan sifat syukur, redha dan pergantungan yang tinggi pada Allah walaupun memiliki kuasa (ayat 98) di samping sentiasa ikhlas dalam melakukan amal kebajikan tanpa mengira golongan dan sentiasa mengingati akhirat.(ayat 110)

Benarlah 4 perkara ini menjadi keinginan utama manusia di dunia ini agar dia disanjung dan berperoleh kemasyhuran. Namun, Allah swt memberikan bandingan ke empat-empat perkara itu sebagai dunia yang fana dan sementara semata-mata. Orang yang beriman hendaklah menjadikan ke empat-empat perkara ini sebagai alat semata-mata untuk memperolehi kehidupan yang hakiki kekal abadi di akhirat dengan menjadikan al-Quran sebagai pertunjuk dalam menghadapi ke empat-empat fitnah yang datang menguji mereka.

Mari kita renung hakikat dunia yang fana ini dalam ayat

وَٱضۡرِبۡ لَهُم مَّثَلَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا كَمَآءٍ أَنزَلۡنَـٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱخۡتَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلۡأَرۡضِ فَأَصۡبَحَ هَشِيمً۬ا تَذۡرُوهُ ٱلرِّيَـٰحُ‌ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ مُّقۡتَدِرًا (٤٥) ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِينَةُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱلۡبَـٰقِيَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَيۡرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابً۬ا وَخَيۡرٌ أَمَلاً۬ (٤٦)
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (45)

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (46)

Sama-samalah kita bertanyalah pada diri kita apakah yang telah kita lakukan dengan Islam yang kita pegang ini, dengan harta yang kita miliki ini, dengan ilmu yg kita perolehi ini dan dengan kedudukan yg kita perolehi ini. Adakah semuanya itu telah mendorong kita mempertahan dan menyuburkan Islam dengan beramal soleh, membelanjakan harta untuk menyucikan jiwa dan diri kita, mengamalkan ilmu agar sentiasa dekat dengan Allah swt., dan menjadikan kedudukan dan pangkat itu untuk kita kongsikan dengan orang yang memerlukan berkorban mengenepikan keseronokan duniawi demi mengejar kenikmatan ukhrawi. Sama-sama pula kita kita merenung dalam diri kita ..bagaimana kita menghayati ayat berikut ini:-

وَيَوۡمَ نُسَيِّرُ ٱلۡجِبَالَ وَتَرَى ٱلۡأَرۡضَ بَارِزَةً۬ وَحَشَرۡنَـٰهُمۡ فَلَمۡ نُغَادِرۡ مِنۡہُمۡ أَحَدً۬ا (٤٧) وَعُرِضُواْ عَلَىٰ رَبِّكَ صَفًّ۬ا لَّقَدۡ جِئۡتُمُونَا كَمَا خَلَقۡنَـٰكُمۡ أَوَّلَ مَرَّةِۭ‌ۚ بَلۡ زَعَمۡتُمۡ أَلَّن نَّجۡعَلَ لَكُم مَّوۡعِدً۬ا (٤٨) وَوُضِعَ ٱلۡكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلۡمُجۡرِمِينَ مُشۡفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيۡلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلۡڪِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً۬ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحۡصَٮٰهَا‌ۚ وَوَجَدُواْ مَا عَمِلُواْ حَاضِرً۬ا‌ۗ وَلَا يَظۡلِمُ رَبُّكَ أَحَدً۬ا (٤٩)
Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka. (47)
Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): Kamu sekarang telah datang kepada Kami (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan). (48)
Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya dan mereka akan berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya) dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. (49)

Inilah hikmat galakan RasululLah saw agar membaca surah al-Kahfi menyatakan sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat maka akan penuh limpahan cahaya dalam hidupnya di anta dua Jumaat dan akan terselamatlah dia daripada fitnah al-Dajjal yang melengkapkan segala fitnah dunia ini agar orang yang beriman itu dipalingkan dari aqidah yang benar setelah mereka terperangkap dengan fitnah agama, harta, ilmu dan pangkat. Buat akhirnya:

وَٱصۡبِرۡ نَفۡسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ رَبَّہُم بِٱلۡغَدَوٰةِ وَٱلۡعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجۡهَهُ ۥ‌ۖ وَلَا تَعۡدُ عَيۡنَاكَ عَنۡہُمۡ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَلَا تُطِعۡ مَنۡ أَغۡفَلۡنَا قَلۡبَهُ ۥ عَن ذِكۡرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ وَكَانَ أَمۡرُهُ ۥ فُرُطً۬ا (٢٨) وَقُلِ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكُمۡ‌ۖ فَمَن شَآءَ فَلۡيُؤۡمِن وَمَن شَآءَ فَلۡيَكۡفُرۡ‌ۚ إِنَّآ أَعۡتَدۡنَا لِلظَّـٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِہِمۡ سُرَادِقُهَا‌ۚ وَإِن يَسۡتَغِيثُواْ يُغَاثُواْ بِمَآءٍ۬ كَٱلۡمُهۡلِ يَشۡوِى ٱلۡوُجُوهَ‌ۚ بِئۡسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتۡ مُرۡتَفَقًا (٢٩)
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. (28)
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api Neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat bersenang-senang. (29)

Marilah sama-sama kita beramal dengan bacaan surah ini pada kesempatan setiap Jumaat dan menghayati kandungannya pada hari-hari antara dua Jumaat yang diberikan kepada kita sementara ini.
Wallahu a’lam.

By: Wahibah H Tahir

Advertisements